Showing posts with label My Life. Show all posts
Showing posts with label My Life. Show all posts

Friday, 8 May 2015

Cerita Adik Kakak (2)

Assalamualaikun dan selamat sejahtera pembaca.
--------------------------------

Setelah menghabiskan kerja-kerja sekolah, kakak menghampiri adik yang sedang bermain-main dengan anak patungnya di hadapan televisyen.

Kakak: Adik, kakak nak tidur lah.

Adik: Ok.

Kakak: Nak tidur atas riba adik.

Adik: Ok. (Sambil meluruskan kaki dan menepuk-nepuk ribanya yang kecil itu agar kakak dapat berbaring di situ.)

Kakak pun meletakkan kepalanya dengan selesa di riba adik.

Adik: Nak pok-pok tak?

Kakak: Nak-nak.

Adik: Nak dodoi?

Kakak: Mestilah.

Adik: Ok. Nak lagu apa? Hasbi rabbi ke, La ilaha illallah?

Kakak: La ilaha illallah lah.

Adik: Hasbi rabbi je lah.

Kakak: Kakak nak la ilaha illallah.

Adik: Hasbi rabbi je.... (sambil menekan suaranya dan mula mendodoi zikir hasbi rabbi)

Kakak: (Suara tak puas hati) Tadi bagi pilihan kat kita tapi kesudahannya dia yang pilih. Entah apa-apa.

Blur.

*"Adik" dalam cerita ini berusia 3 tahun. Manakala "Kakak" pula, 16 tahun.

Sekian.

Thursday, 7 May 2015

Surat buat Mei (yang terlewat)

Assalamualaikum.

Menemui Mei yang tersayang.

Maaf atas keterlewatanku menyusul dirimu dengan kiriman warkah ini.

Semoga kehadiranmu dapat menceriakan hidupku sehari-hari dalam bulan mendatang ini.

Mei....

Seperti yang engkau tahu, dalam dirimu penuh dengan tarikh-tarikh keramat. Sangat banyak. Hingga aku merasakan kadang-kadang, dirimu menjadi penyebab aku berasa kopak.

Engkau juga seolah-olah memaksa aku untuk mengingati beberapa tarikh keramat yang bakal memboloskan poket dan jiwaku.

Namun demi engkau, Mei....

Kali ini untuk kesekian kalinya aku sudah mula mahu berazam. Aku berazam untuk tidak mahu membiarkan kekopakan ini berlarutan. Ini kerana kehidupan serba GST ini benar-benar meragut kebebasanku untuk berbelanja.

Walaupun begitu, Mei tetap akan kukenang dan sanjung kerana tanpa Mei, mungkin ibuku akan lahir pada Jun. Tanpa Mei, mungkin aku tidak berpeluang untuk mengenang pemergian ibuku. Al-Fatihah ibu.

Salam hormat,
Faridah Ahjumma.

http://faridahahjumma.blogspot.com/

Wednesday, 6 May 2015

Cerita Adik Kakak (1)

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca.

------------------------------

Mereka sedang duduk-duduk menonton drama di kaca televisyen.
Tiba-tiba kakak tersedak.

Kakak: Adik, tolong ambilkan kakak air minum di dapur.

Adik: Ok.

Adik bangun dan jalan terkedek-kedek menuju ke dapur dan menekan air putih dari water dispenser ke dalam gelas. Setelah air dalam gelas penuh, adik melangkah ke ruang depan sambil memegang gelas penuh hati-hati. Takut air dalam gelas tumpah. Sampai di garisan pemisah ruang, adik berhenti.

Adik: Kakak, adik minum sikit ya, airnya.

Kakak: Jangan, tu kan air kakak.

Adik: Air adik lah. Kan adik yang ambil.

Kakak: Air kakak kan? Sebab kakak yang minta tolong adik ambilkan.

Adik: Bukan. Air Adik. Adik minum tau.

Kakak: Jangan. Tak baik tau minum dulu sebelum orang yang tua minum.

Adik: Ok, orang tua nak minum air adik, ya?

Blur.

*"Adik" dalam cerita ini berusia 3 tahun. Manakala "Kakak" pula, 16 tahun.

Sekian.

Wednesday, 21 January 2015

Penampilan dan Keterampilan

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca.

Hai wanita-wanita Muslim di luar sana, mana satu yang lagi bagus? Menutup aurat dengan sempurna ataupun menutup aurat ala kadar saja?

Meh baca yang ni sekejap:

"Mamat pergi ke kedai runcit Pak Jakon untuk membeli sekilo tepung gandum atas suruhan ibunya. Sampai di kedai runcit Pak Jakon, dia ternampak seorang anak kecil merengek-rengek mahukan gula-gula lolipop yang dicucuk-cucuk di bahagian penutup balang lolipop itu. Padahal, di tangan anak kecil itu sudah ada sebatang gula-gula lolipop. Cuma lolipop di tangannya itu, terkoyak sedikit balutannya dan anak kecil itu mahu yang lebih sempurna balutannya. Oleh kerana ibu si anak kecil itu sedang sibuk memilih cili padi, Mamat pun membantu anak kecil itu mengambilkan lolipop yang baharu untuk digantikan dengan yang terkoyak di tangannya."

Cerita merapu. ok. Fine. Hahaha. Motif yang cuba diketengahkan adalah, kalau penutupan aurat kita kurang sempurna, maka kuranglah kemanisan diri kita.


Tapi sebenarnya, aurat dalam Islam bukan hanya pada penampilan sahaja. Tak guna juga kalau bertutup litup bagai, tapi suara kuat sepelaung. Bukan setakat suara je kuat, caci maki bagai semua cukup. Astaghfirullah. Orang macam gini kompem ingat tutup aurat; bertudung berjilbab bagai tu cuma fesyen.

Rasulullah dah pesan dengan kita semua dalam hadis baginda yang bermaksud, “Sesiapa yang melabuhkan pakaian atau kainnya kerana sombong, nescaya Allah tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Tu satu hal. Belum yang mekap tebal-tebal lagi, tapi pakai tudung. Tudung labuh pula tu. Kalau yang berpurdah (niqab) tang mata kemain calit celak dan lukis kening. Tebal dan meleding alis dengan bulu matanya. Subhanallah. Ni orang-orang yang hilang akal ke apa ni?

Hadoi la...buat semua benda biarlah kerana Allah. Lillahi ta'ala kata orang tua-tua

Pesan Nabi kita dalam hadisnya yang bermaksud, "Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah." (Hadis riwayat Ibnu Mas'ud)

Nak cakap lagi, lukis kening tu pun dikira tatu sebab tatu tu sendiri membawa maksud, melukis di atas kulit benda yang hidup. Sama ada kekal ataupun tidak. Sedangkan melukis kening tu aje dah dikira merubah kejadian yang Allah kasi. Sedangkan kita dah tau apa hukumnya kalau kita merubah sesuatu yang Allah telah ciptakan untuk kita. Na'uzubillah.

Tu belum cerita lagi yang menutup aurat ala kadar. Ko ingat dalam bab aurat ni boleh macam fast food yang ala carte tu ek? Tapi betul lah. Manusia tu tak sempurna keseluruhannya. So, mari kita sama-sama usaha mencari kesempurnaan untuk diri kita sendiri. Lillahi ta'ala.

Mana-mana yang tak baik dan kurang elok tu, kita buang. Tak boleh buang terus, buang sikit-sikit. Sebab lama-lama jadi bukit. Hehe. Moga kita sama-sama dapat kongsi syurga yang Allah cipta di Akhirat sana. Yang suka perli-perli orang nak berubah tu pun kena berubah juga. Berubah untuk sama-sama rebut pahala.

Jomlah jadi baik.
Kamsahamnida, pembaca.
~annyeong

Monday, 19 January 2015

Tertekan dan Hari-Hari yang Menekan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca.
Hari-hari yang indah itu tidak selalu ada. Macam cuaca jugalah. Kadang-kadang hujan, kadang-kadang panas. Jadi bila hari yang tidak indah itu menjelma, apa agaknya yang akan pembaca lakukan? Diam diri? Memekak? Ganggu orang?

Saya pilih untuk diam diri dan nyanyi sorang-sorang. Kadang-kadang saya pasang mp3 al-Quran (insaf bukan?). Tak kiralah apa saja yang saya lakukan secara diam-diam dan yang penting dapat menenangkan hidup sehari-hari saya. (Biasanya kalau tak nyanyi-nyanyi, saya akan melukis atau menyonteng).



Tertekan atau apa yang disebut oleh orang Barat sebagai STRESS adalah satu penyakit mental yang hadir apabila butang tekan dalam minda kita dihempuk dengan lama. Tak kisahlah dihempuk dengan apa. Bila tugasan di tempat kerja ataupun di rumah ataupun di sekolah sudah semakin banyak, ia akan menjadi beban. Dan beban inilah yang menyebabkan tekanan.

Mari kita tarik nafas sama-sama dan cuba untuk bertenang. Kerana dengan cara ini sajalah kita dapat melawan rasa tertekan itu. Selebihnya, kita harus percaya bahawa tekanan ini tidak hadir untuk berumah selamanya dalam minda dan jiwa kita. Esok lusa, ok lah tu.

Jom istighfar!
Terima kasih, pembaca.
~annyeong~

Thursday, 15 January 2015

Diam Itu Lebih Indah

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca.

Pernah tak rasa tiba-tiba orang diam sepanjang masa bila bersama kita? Ataupun kita yang suka diam bila bersama-sama kawan?

Saya seorang yang pendiam tapi bukan bererti saya tak suka bercakap. Ada orang suka bercakap dan tak reti diam. Apa yang kau merepek ni?

Rasulullah sendiri pernah bersabda yang direkodkan dalam Kitab Hadis 40, pada hadis ke-15 ada menyebutkan:

Daripada Abu Hurairah Radiallahu anhu, bahawa Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:

Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Barang siapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.
Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan Muslim.


Jadi, apa yang saya cuba beritahu di sini adalah, kadang-kadang saya memang kelihatan pendiam dan nampak macam suka diam. Namun sebenarnya saya bukan pendiam. Saya cuma segan dan tak tau nak mulakan perbualan tu macamana.

Oleh itu, sesiapa yang duduk dekat-dekat dengan saya atau terserempak dengan saya di mana-mana dan nampak saya diam aje, silalah tegur dan bersapa ya. Tapi, kalau rasa tak suka berbual lama-lama, jangan tegur. Sebab 'Ahjumma' ni kalau dan mula bercakap, dia memang tak boleh berhenti.

Betul. Tak tipu!
Terima kasih, pembaca.
~annyeong~

Tuesday, 13 January 2015

Cukuplah dengan Bersederhana

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca.

Bukannya ada idea sangat hendak ditulis kali ini. Cuma mahu berkongsi rasa bersederhana yang patut ada dalam diri kita.

Jika kita sukakan sesuatu, tak perlulah berlebih-lebihan. Jangan sampai ta'asub. Jangan sampai leka. Hidup ini hanya sementara. Mati kita nanti, hanya nama yang bakal ditinggalkan.


Memang susah nak buang minat atau hobi atau benda-benda yang kita 'terlalu' suka ni. Dan kadang-kadang hobi serta minat kita tu sebenarnya adalah benda-benda yang melalaikan dan kita langsung tak sedar tentang itu. Untuk mencampak jauh apa yang kita minat itu memang susah. Nak berubah memang bukan senang. Namun, bukankah kita boleh mengurangkannya?

Contoh, kalau kita suka dan minat sangat-sangat minum cool blog, padahal kita tahu benda tu manis dan boleh mendatangkan mudarat jika minum selalu. Jadi, apa salahnya kita kurangkan meminumnya. Kalau dulu, hari-hari beli cool blog, sekarang, kurangkan sedikit demi kesihatan.

Begitu juga kalau suka sangat tengok drama korea atau apa-apa drama dan sinetron *nak-nak yang suka tayang waktu maghrib, hehehe... kurang-kurangkanlah. Jangan asyik mengadap benda-benda tu 24 jam sampai lupa semua perkara. Sampai lupa semua perkara yang wajib.

Tua dan menua itu pasti. Jadi beringatlah. Bersederhanalah.
Terima kasih, pembaca.
~annyeong~

Thursday, 1 January 2015

"Sampai Jumpa Di Tahun Hadapan"

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca.



Hari ini hari pertama tahun 2015. Tentang semalam? Ya, tentang malam tadi. Saya tidur awal setelah mata terlalu kelat untuk menghabiskan filem The Dark Knight Rise yang tertayang di siaran RCTI.

Setelah berwuduk dan berbaring, zikir dialun perlahan (bukan zikir Ya Hanana), membaca tiga Qul dan melunakkan kepala di bantal, saya lantas memandang angka waktu di telefon bimbit. Angka tertera: 11. 32 malam.

Bisik saya pada diri sendiri, "Sampai jumpa di tahun hadapan, wahai diriku."
Dan benar, saya terjaga jam 6.00 pagi tadi pada tahun baru. Alhamdulillah.

Doakan saya terus istiqamah!
Terima kasih, pembaca.
~annyeonghi gaseyo!

Wednesday, 31 December 2014

Yang Terakhir untuk 2014

Assalamualaikum pembaca.

Satu lagi tahun sudah berakhir. Ia terbang seperti burung madu, membungkam udara dengan sayap yang bergetar lembut. Saya belajar banyak perkara dalam peredaran masa di sepanjang tahun ini. Telah banyak yang saya alami antara sakit dan gembira, naik dan turun fasa, penyesalan dan harapan.

Saya merenungi laluan saya ini begitu lama. Banyak yang telah saya pelajari. Belajar untuk terus bangun, belajar untuk menerima seadanya kehidupan saya, belajar untuk diam dan sabar.

Apa sebenarnya yang saya mahukan dalam hidup saya?
Mungkin 2014 adalah satu titik harapan bagi menguji kemampuan saya. Mungkin juga ia titik permulaan untuk saya mencari apa kemahuan saya. Ataupun ia mungkin satu titik untuk pemula bagi insan seperti saya. Ternyata usia saya ini sudah semakin lewat dan saya sudah semakin dewasa namun belum lebih bijaksana. Dan semua itu akan saya asah untuk dibawa terus ke tahun 2015. Dengan izin-Nya.

Di Tempat Kerja:
Jatuh bangun saya dalam bidang pekerjaan yang saya ceburi benar-benar menjadikan saya manusia. Walau kini masih ada tugasan yang terbengkalai dan ditunda, namun saya tidak akan berhenti di sini. Saya akan terus melangkah. Saya mampu menulis. Alhamdulillah.

Perubahan Diri:
Saya berhasil untuk tetap kuat di kaki sendiri.Saya ingin, tidak, saya perlu membuktikan kepada diri sendiri bahwa saya mampu berdikari, bebas dari perisai keluarga. Saya berhasil berdikari bersama orang-orang yang saya pilih untuk hidup dalam dunia saya. Pilihan yang diizin Tuhan untuk saya. Suka duka saya tidak keseorangan. Dalam keseorangan saya sentiasa ada Tuhan dan mereka. Saya sudah berpurdah. Perubahan besar yang saya lakukan untuk diri saya. Alhamdulillah.

Dalam diri setiap manusia ada sebuah bilik. Bilik itu kosong pada asalnya. Manusia itu sendiri yang berhak untuk menghias biliknya. Bagi saya, saya akan menghias 'bilik' saya itu semampu dan secantik mungkin supaya pada masa hadapan, saya mampu untuk tersenyum dan gembira tatkala memandang 'bilik' itu untuk mencuci mata dan jiwa.












Doakan saya terus istiqamah!
Terima kasih, pembaca.
~annyeonghi gaseyo!


Thursday, 23 October 2014

Soal Jawab Sebab Berpurdah

Assalamualaikum pembaca.

Lama sungguh Ahjumma tak mengisi blog Ahjumma ni. Di sini Ahjumma kongsikan cerita ini.

-----------

Adik kecik lelaki yg tgh makan aiskrim terserempak seorang kakak berpurdah di jalanan. Lalu beliau mengambil kesempatan itu bertanyakan beberapa soalan:

Adik: "Kak, kenapa orang pakai purdah? Jelitakah mereka?"

Kakak purdah: "Salah. Majoritinya tak lawa. Contohnya akak pakai kerana akak rasa nak pakai."

Adik: "Kenapa akak nak pakai?"

Kakak purdah: "Sebab akak nak pakai lah."

Adik: "Kenapa?"

Kakak purdah: "Kenapa adik pakai seluar? Itulah jawapannya."

Adik: "Oh. Saya selalu nampak kakak-kakak purdah menggedik di facebook letak gambar macam-macam gaya. Gedikkah mereka sebenarnya?"

Kakak purdah: "Mereka juga wanita. Wanita tak dapat lari dari kegedikan. Tambah-tambah lagi yang bujangan dan facebook ada ramai lelaki gatal."

Adik: "Kenapa?"

Kakak purdah: "Kenapa adik bila nampak mainan or game PS3 ke adik tergedik-gedik nak suruh mak ayah beli? Itulah jawapannya."

Adik: "Oh. Adik kan kecik lagi, dorang kan dah tua bangka. Sama ke?"

Kakak purdah: "Whateverrrrrrr."

Adik: "Mereka tak malu ke? Kalau dah tutup semua pun masih gedik-gedik lagi? Apa beza dorang dengan orang biasa?"

Kakak purdah: "Katalah adik dengan kawan-kawan adik duduk dalam kelas sama-sama, tiba-tiba seorang berkentut bau telur harum semerbak satu kelas. Adik boleh cam ke siapa yang kentut tak berbunyi tu? Seorang kentut, semua kena. Padahal tak semua kentut. Itulah jawapannya."

Adik: "Oh..kenapa makin ramai pakai purdah sekarang? Tapi tak ramai yang berpurdah perangai baik. Kenapa?"

Kakak purdah: "Katalah adik pergi pantai jumpa tiram yang ada mutiara kat dalam dia. Apa perasaan adik? Excited tak? Tapi tak semua tiram tu ada mutiara. Kadang-kadang buka kosong je, kadang-kadang ada ulat. Itulah jawapannya."

Adik: "Nah..eskrim kat akak..upah jawab soalan."

Kakak purdah tu pun amik eskrim tu, tapi masa nak makan tu adik pun ternampak wajah sebenar kakak purdah tu.

Ternganga adik tersebut.

---------

Dalam dunia ini, tak semua soalan ada jawapannya. Kadangkala pula ada jawapan yang tidak memuaskan hati kita. Sebab itu Allah ciptakan hati manusia itu memiliki tuan-tuan yang tersendiri. Mereka berhak menilai dan menjawab soalan dan persoalan mereka sendiri. Wallahu a'lam.

Terima kasih, pembaca.
~annyeonghi gaseyo!

Tuesday, 18 March 2014

Sikap Sombong dalam Diri

Assalamualaikum pembaca.

Entry kali ini, Ahjumma nak taip pasal sikap kibir. Sikap kibir ini memang ada dalam diri setiap orang. Cuma ada setengah orang yang mampu mengawalnya dengan baik dan menggunakannya dengan cara yang betul.

Perkataan kibir mengikut istilah bahasa Melayu, ertinya ialah sombong atau angkuh. Pengertian dalam bahasa moden ialah ego. Mengikut syariat Islam, erti kibir ialah membesarkan diri kerana merasakan diri mempunyai kelebihan dan keistimewaan sehingga lupa kepada Allah dan menderhakainya. Pengertian mengikut istilah syariat inilah yang akan dihuraikan di sini.

Sifat kibir atau sombong atau angkuh atau ego bermakna membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan. Ia merupakan sifat batin (mazmumah) yang paling keji. Bahkan ia adalah sifat batin yang sangat jahat.

Thursday, 13 February 2014

Gout: Kebiasaan yang perlu dikurangkan ~Kena kurangkan minum MILO dan SUNQUICK?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera pembaca.

faridahahjumma.blogspot.com
Gout merupakan satu penyakit yang semakin banyak menyerang rakyat Malaysia. Penyakit ini sudah menular dengan rancak dan yang paling ramai menghidapinya adalah kaum lelaki berusia dalam lingkungan 40-an. Namun ada juga kes gout yang menyerang lelaki berusia awal 30-an. Menurut NIH (National Institutes of Health in America), gout telah menyerang kira-kira 2.1 juta penduduk di Amerika dan kerap menyerang lelaki berusia antara 40-50. Ia jarang berlaku pada kanak-kanak-kanak dan remaja.

Apakah sebenarnya penyakit gout ini?

Gout ialah satu penyakit yang diakibatkan oleh peningkatan asid urik dalam darah. Apabila tahap asid urik dalam darah ini terus meningkat, sebahagian asid urik ini akan membentuk “kristal asid urik” pada bahagian sendi-sendi dan ini akan menyebabkan sendi ini mengalami rasa sakit, rasa sukar untuk bergerak, pembengkakan dan rejangan pedih. Gout selalunya menyerang sendi pada ibu jari kaki.

Wednesday, 29 January 2014

Produk Halagel yang Ahjumma Suka

Assalamualaikum dan salam sejahtera pembaca.

Kali ini Ahjumma nak cerita pasal HALAGEL. Maih ramai yang tak tau pasal produk dan syarikat HALAGEL ni. Syarikat HALAGEL atau nama penuhnya Halagel (M) Sdn. Bhd. adalah pengedar tunggal makanan halal, gelatin gred farmaseutikal dan kapsul kosong untuk malaysia pada tahun 1997.

Semenjak itu, syarikat ni mula meluaskan perniagaannya kepada pembuatan produk altenatif halal melalui anak syarikatnya Halagel Distibutor Sdn. Bhd. dan Halagel Products Sdn. Bhd.

Syarikat Halagel di Sungai Petani, Kedah

Taip-taip macam la Ahjumma ni pemilik syarikat besar ni. Bukan, ya.... Ahjumma cuma nak cerita serba sedikit saja. Memang dah banyak produk keluaran Halagel ni. Paling glamour yang kita tau adalah produk garam bukit dia yang best tu.

Tapi intro Ahjumma yang panjang-panjang ni bukan untuk memperkenalkan garam bukit pun. Yang Ahjumma nak kenalkan adalah produk softgelnya. Ya. Produk Softgel. Produk Softgel Halagel ni bagus-bagus dan dijamin halal tau.

Sijil HALAL daripada Jakim

Berikut adalah gambar dan senarai produk Softgel Halagel.

Isi 60 biji

Isi 120 biji

Pada entry yang akan datang, Ahjumma akan sertakan segala kebaikan semua produk Softgel Halagel ni.

Oh ya, sesiapa antara pembaca yang berminat nak beli ataupun ingin nak tahu harga produk-produk Halagel ni, bolehlah hubungi Ahjumma di emel janaon9@gmail.com ataupun tinggalkan pesanan di kotak pesanan di bawah ni. Nanti Ahjumma akan reply, insya-Allah.

Sekian, terima kasih pembaca.
안녕히 가세요! ~annyeonghi gaseyo!

Tuesday, 8 October 2013

Kegemukan: Genetik ataupun bukan?

Assalamualaikum pembaca.

Entry kali ini Ahjumma nak cakap pasal kegemukan. Memandangkan berat badan Ahjumma semakin meningkat, so, Ahjumma pun dah mula seram sejuk. Maklum la...bila berat naik, maknanya kita dah mula gemuk, bila kita dah mula gemuk, bermakna kemungkinan bermacam jenis penyakit akan hinggap kat badan kita. Seram sejuk kan?

Tapi sebelum tu, Ahjumma nak tau, kegemukan ni asal genetik kita ke atau bukan? Adakah bila mak ataupun nenek kita gemuk, maka secara otomatiknya kita akan hidup gemuk? Mak Ahjumma tak gemuk, nenek pun tak gemuk. Adakah kegemukan sejenis penyakit turun temurun?

Menurut penelitian pakat kesihatan dan doktor, ramai yang mengatakan bahawa kegemukan adalah berpunca daripada faktor genetik (biar betul?). Ini bermakna, berat badan seseorang itu akan dipengaruhi oleh keturunan kita (ek?). So, bila kita mudah gemuk, maksudnya bukan salah diri kita sepenuhnya (ye ke?).

Gambar hiasan. Sumber: idahsalam.blogspot.com

Dr. James Rosen, seorang professor dari the University of Vermont menyatakan, “Kami mengetahui bahawa di luar faktor persekitaran dan kelakuan seseorang, faktor genetik juga berperanan besar dalam menentukan berat badan seseorang.”

Sementara faktor genetik berpengaruh terhadap berat badan dan menjadikan seseorang itu mewarisi gen gemuk daripada ibu bapanya, maka cara yang paling tepat untuk mencegah berat badan bertambah adalah, bersedia bertanggungjawab untuk diri sendiri dan berusaha untuk melakukan perubahan. Ingat, meskipun diwarisi secara genetik, kegemukan masih boleh dicegah.

Kegemukan & Jenis Tubuh Badan
Sekitar tahun 30-an, psikologi Harvard Dr William H. Sheldon mengembangkan sistem klasifikasi perbezaan jenis tubuh yang disebut “somatotyping.” Somatotyping merupakan sistem klasifikasi tubuh berdasarkan jenis tubuh setiap individu yang dibahagi kepada 3 jenis perbezaan iaitu, ectomorph, mesomorphs dan endomorphs.

Jenis ectomorph adalah bentuk tubuh yang kurus. Orang yang memiliki jenis badan begini biasanya memiliki metabolisme yang tinggi dan lemak badan yang rendah. Walaupun dia makan banyak mana sekalipun, berat badannya susah untuk bertambah.

Mesomorph pula adalah bentuk badan para atlet atau ahli olahraga dengan tubuh padat dan agak berotot. Orang yang berbadan begini, sangat mudah membentuk muscle sampai nampak berketul-ketul (eeee...).

Manakala Endomorphs adalah jenis orang yang berbadan mudah berisi, memiliki otot yang sikit dan agak mudah menyimpan lemak. Berat badan mesomorph akan mudah naik jika mengambil makanan tertentu dan tidak seimbang.

Endomorphs mampu mengeluarkan banyak insulin ketika mengambil karbohidrat yang tidak terkawal. Inilah salah satu faktor penyebab meningkatnya penyimpanan lemak dan kesusahan dalam menurunkan ataupun membuang lemak yang sudah ada. Keadaan ini dikenal sebagai “resistensi insulin” atau “Sindrom X.”

Gambar hiasan. Sumber google.

Hormon & Berat Badan
Para ilmuwan menyatakan bahawa kecenderungan berat badan bertambah bagi pemilik tubuh Endomorph juga disebabkan oleh ketidakseimbangan kimia dalam otak yang menyebabkan orang untuk makan berlebihan. Kandungan kimia ini disebut ghrelin.

Ghrelin adalah hormon yang dihasilkan oleh sel-sel lapisan P/D1 dari lambung manusia dan sel epsilon dari pankreas yang merangsang rasa lapar. Tahap ghrelin meningkat sebelum makan dan menurun setelah makan.

Ghrelin dapat memicu akumulasi lemak terutama di daerah perut (obesitas visceral) yang dapat mengakibatkan tekanan darah tinggi hingga diabetes type-2.

Bahkan, penelitian lebih lanjut menyebutkan, sekiranya seseorang itu diberi suntikan ghrelin dan kemudian disuruh makan, mereka akan makan 30 persen lebih banyak daripada kebiasaan!

Apa yang cuba dijelaskan di sini adalah, sekiranya kita mengalami berat badan yang berlebihan dan otak pula asyik mengajak kita untuk terus makan, maknanya bukan gaya hidup sahaja yang mempengaruhi kita, malah genetik kita pun turut mempengaruhi badan kita.

Pakar kesihatan mencadangkan agar usaha penurunan berat badan yang melampau dan segera tanpa mengimbangi pola pemakanan dan senaman yang baik, patut dihindari dengan keras!

Penggunaan ubat-ubatan yang tidak mendapatkan nasihat doktor terlabih dahulu, amatlah membahayakan. Adakalanya ubat-ubat tersebut tidak mendatangkan keberkesanan malah menimbulkan kemudaratan yang teruk. Pakar diet bersepakat bahawa cara menurunkan berat badan yang paling baik adalah dengan menjaga keseimbangan pemakanan, rajin bersenam dengan rutin, sentiasa sabar dan tenang menangani diet yang seimbang.

Gambar hiasan. Sumber google.


Semua Orang Mampu Menurunkan Berat Badan
Dr Thomas Wadden, seorang psikologi dari Syracuse University, mengatakan, “Jika kamu memiliki kecenderungan genetik terhadap obesiti, kamu dapat mengurangkan lemak seperti orang lain. Tidak ada yang ditakdirkan untuk menjadi gemuk, kerana setiap orang mampu untuk menurunkan berat badan.”

“Kamu hanya perlu berusaha lebih gigih dan dan lebih lama mengamalkan diet seimbang itu berbanding orang lain. Hasilnya mungkin tidak akan sekurus yang kamu bayangkan, tetapi percayalah, kamu pasti akan dapat menurunkan berat badan,” tambahnya lagi.

Kita tak boleh mengalah dengan faktor genetik sebagai penyebab kegemukan. Perasaan mengalah ini akan menimbulkan kemudaratan diri kita sendiri. Kemungkinan, kita akan menambah berat badan kita sendiri tanpa pengetahuan kita.

Kesimpulannya, belajarlah bertanggung jawab dengan diri kita sendiri dan lakukanlah perubahan yang sihat agar kegemukan genetik ini tidak menghantui hidup kita.

Hidup sihat adalah impian semua orang. Sumber gambar: Google

Terima kasih, pembaca.
안녕히 가세요! ~annyeonghi gaseyo!

Saturday, 28 September 2013

Ahjumma dalam seorang aku

Assalamualaikum pembaca.

Idea ada tapi tidak tahu bagaimana hendak diluahkan dalam penulisan. Beginilah aku. Hok! Rasa nak pengsan cuba perah idea yang ada tapi segan hendak dikeluarkan. Perlu perah betul-betul untuk ditaip. Aku ini nama saja seorang editor tetapi penggunaan bahasa sendiri memang agak hancur. Oleh itu sering menaip entah apa-apa untuk hiburan diri sendiri.

Ahjumma dan Blog

Assalamualaikum pembaca.

Ahjumma sudah ada blog! Alhamdulillah. Sebenarnya sebelum ini, Ahjumma sudah ada bermacam blog. Yang problemnya, Ahjumma tidak tahu apa emel yang aku gunakan sebelumnya. Hancuss!

Kenapa baru sekarang Ahjumma ingin jadi bloger semula?

Ini disebabkan oleh Ahjumma nak abadikan semua kenangan Ahjumma untuk anak-anak Ahjumma dan semua orang. Tak kisahlah ada yang nak baca ataupun tidak. Tapi Ahjumma akan terus menulis tentang kehidupan Ahjumma dan segala kenangan yang Ahjumma ada sebelum dan selepas ini.

Silalah memberi Ahjumma support ya, pembaca yang penyabar sekalian. Jom kongsi-kongsi cerita dengan Ahjumma untuk memeriahkan lagi blog Ahjumma ni.



Terima kasih pembaca!
안녕히 가세요! ~annyeonghi gaseyo!