Tuesday, 11 February 2014

Sketsa Puasa Anak Kecil

http://faridahahjumma.blogspot.com/
Hadis daripada Sahal Bin Saad bahawa Nabi Sallallahu alaihi wa salam bersabda, “Sesungguhnya syurga mempunyai pintu yang bernama ar-Rayyan, ia dimasuki oleh orang-orang yang berpuasa, dia tidak akan dimasuki oleh sesiapa pun kecuali orang yang berpuasa. Pada hari kiamat malaikat akan memanggil di manakah orang-orang yang berpuasa? Maka selepas dipanggil mereka pun masuk, maka selepas sahaja mereka masuk, pintu akan ditutup.”

Ini sketsa sewaktu di Jordan....

Pagi itu, pagi bulan Ramadan. Yang entah hari ke berapa. Kenangan itu terlalu lama untuk diingat segala perinciannya. Ahjumma, Encik Suami dan anak sulung kami, Aishah (pada waktu itu, anak kami hanya dia seorang sahaja) berjalan kaki ke balad (pasar) untuk membeli belanja dapur. Sedang menunggu Encik Suami memilih ayam, Ahjumma yang sedang memimpin tangan anak, ditegur oleh seorang halah (makcik Arab):

Halah: Marhaba (hai)
Ahjumma: Ahlen (hai kembali)
Halah: Bitasytari isyi littobah? (Beli sesuatu untuk masak kah?)
Ahjumma: Na'am (ya)

Halah ni tunggu anak lelaki bujangnya memilih ayam segar juga (kerana ramai lelaki di kawasan memilih ayam, orang perempuan ramai yang tunggu di tepi kedai ayam). Setelah bertegur sapa lebih kurang, halah ni tadi terpandang Aishah yang sedang memegang hujung jubah Ahjumma. Aishah berusia 5 tahun masa tu.

Halah: Hal hiya soiemah? (Adakah dia berpuasa?)
Ahjumma: Na'am (ya)

Bangga juga bila memberitahu yang anak kecil saya mampu berpuasa. Ahjumma dulu pun belajar puasa masa umur 5 tahun juga. Puasa sekerat hari. Tapi di Jordan masa tu, musim syita' (sejuk). Musim syita' ni, siangnya pendek. Mula puasa pukul 4 pagi hingga 5 petang sahaja. Berbalik pada halah tadi, bila Ahjumma kata, "Na'am," dia terus melenting.

"Haram alaiki. Hiya ma tazal sogireh! (haram ke atas engkau. Dia masih anak kecil!)"

Ahjumma terdiam. Tidak tahu hendak menjawab apa. Aishah pula asyik memandang Ahjumma dengan pandangan ingin tahunya. Ahjumma terus mendiamkan perkara itu daripada Aishah. Ahjumma tidak mahu dia berasa sakit hati dengan halah itu.

Halah tadi terus berlalu dengan muka masam. Dia masih mendengus-dengus dan bercakap-cakap dengan orang di sebelahnya. Buah butir percakapan mereka kurang jelas namun Ahjumma pasti mereka bercakap tentang Ahjumma kerana kawannya itu tertoleh-toleh melihat Ahjumma.

Bukan sekali tu saja Ahjumma kena. Banyak kali dan ramai halah-halah Arab ni yang memang tak setuju bila dapat tau yang anak kita yang kecil tu dah pandai puasa. Bagi mereka, puasa hanya untuk orang dewasa sahaja. Ahjumma pernah dimaki oleh Arab di tengah khalayak ramai kerana ini. Mereka tak malu nak memalukan kita yang cuba mendidik anak kita tentang ibadah dari usia muda. Tapi, lama-lama Ahjumma dan biasa. Alah bisa tegal biasa kata orang....

Sampai sini dulu untuk kali ini, terima kasih pembaca.
안녕히 가세요! ~annyeonghi gaseyo!

No comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan jejak pembaca. Terima kasih.